info@yt.gov.my +609-621 1800 Soalan Lazim Peta Laman
| |

𝐘𝐀𝐘𝐀𝐒𝐀𝐍 𝐓𝐄𝐑𝐄𝐍𝐆𝐆𝐀𝐍𝐔 𝐃𝐀𝐍 𝐁𝐀𝐓𝐈𝐊 𝐀𝐈𝐑 𝐌𝐄𝐌𝐄𝐓𝐄𝐑𝐀𝐈 𝐌𝐎𝐀 𝐌𝐄𝐌𝐁𝐔𝐊𝐀 𝐋𝐀𝐋𝐔𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀𝐘𝐀...

04/02/2026

Facebook
𝐘𝐀𝐘𝐀𝐒𝐀𝐍 𝐓𝐄𝐑𝐄𝐍𝐆𝐆𝐀𝐍𝐔 𝐃𝐀𝐍 𝐁𝐀𝐓𝐈𝐊 𝐀𝐈𝐑 𝐌𝐄𝐌𝐄𝐓𝐄𝐑𝐀𝐈 𝐌𝐎𝐀 𝐌𝐄𝐌𝐁𝐔𝐊𝐀 𝐋𝐀𝐋𝐔𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀𝐘𝐀...
𝐘𝐀𝐘𝐀𝐒𝐀𝐍 𝐓𝐄𝐑𝐄𝐍𝐆𝐆𝐀𝐍𝐔 𝐃𝐀𝐍 𝐁𝐀𝐓𝐈𝐊 𝐀𝐈𝐑 𝐌𝐄𝐌𝐄𝐓𝐄𝐑𝐀𝐈 𝐌𝐎𝐀 𝐌𝐄𝐌𝐁𝐔𝐊𝐀 𝐋𝐀𝐋𝐔𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀𝐘𝐀 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐁𝐈𝐃𝐀𝐍𝐆 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐄𝐋𝐄𝐍𝐆𝐆𝐀𝐑𝐀𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐒𝐀𝐖𝐀𝐓

𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗧𝗘𝗥𝗘𝗡𝗚𝗚𝗔𝗡𝗨 | 𝟰 𝗙𝗲𝗯𝗿𝘂𝗮𝗿𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟲

Yayasan Terengganu hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Batik Air bagi melaksanakan Program Juruteknik Pesawat Berlesen (CAAM Part-66 Category CAT A1), sekali gus membuka laluan kerjaya profesional dalam bidang penyelenggaraan pesawat kepada anak Terengganu.

Majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Wisma Darul Iman itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperluas akses pendidikan teknikal berimpak tinggi serta pembangunan modal insan berkemahiran, khususnya dalam sektor penerbangan yang kritikal kepada keselamatan operasi.

Program berkenaan diiktiraf oleh Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) di bawah Part 66 Category A (Ab-initio) dan menawarkan latihan komprehensif selari dengan keperluan industri, termasuk jaminan peluang pekerjaan bersama Batik Air selepas tamat pengajian.

Antara kelebihan utama program ini ialah latihan berpiawaian antarabangsa yang diiktiraf CAAM, tenaga pengajar berpengalaman, kemudahan latihan khusus serta pendedahan industri di Malaysia dan Batam. Peserta turut berpeluang membina rangkaian antarabangsa dan laluan perkembangan kerjaya daripada kategori CAT A1 ke tahap lebih tinggi.

Sebagai permulaan, seramai 10 pelajar anak Terengganu akan menerima kelulusan pinjaman pendidikan bagi mengikuti program tersebut, yang dijadualkan bermula pada 3 November 2025. Keutamaan diberikan kepada pemohon yang memenuhi syarat Yayasan Terengganu, termasuk kriteria anak negeri, golongan B40 serta kelulusan SPM dengan syarat minimum bagi mata pelajaran teras.

Kerjasama ini turut memperkenalkan model perkongsian kos yang seimbang, dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM60,000 seorang ditanggung Yayasan Terengganu, manakala Batik Air menanggung kira-kira RM72,000 seorang meliputi latihan jenis pesawat, elaun serta keperluan kebajikan dan latihan berkaitan.

Melalui pelaksanaan MoA ini, Yayasan Terengganu dan Batik Air menyasarkan pembentukan ekosistem bakat penerbangan negeri yang lebih tersusun, bermula daripada latihan asas berlesen sehingga ke peringkat profesional, sekali gus menyokong pembangunan sektor aeroangkasa negara.




Galeri