Arkib Berita

 
DUNGUN PERINTIS PENUBUHAN IMTIAZ MANDARIN

DUNGUN PERINTIS PENUBUHAN IMTIAZ MANDARIN

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos- Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu akan membuka sebuah pusat Tahfiz Mandarin atau IMTIAZ Mandarin dalam usaha melahirkan para pelajar dan huffaz yang mampu menguasai bahasa tersebut.

Pengarahnya, Ishamudin Hashim berkata, IMTIAZ Yayasan Terengganu Dungun merupakan perintis kepada pusat tahfiz berkenaan yang bakal dibuka mulai tahun hadapan.

“Buat masa ini, kita sedang menjalankan kerja-kerja pembangunan fizikal termasuk dari segi kemudahan asrama dan kita jangka beroperasi bermula tahun depan.

"Pendekatan ini diambil memandangkan kita mempunyai pelajar Melayu yang belajar di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penutup Program Khas Asasi Sekolah-Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Majlis perasmian program berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Maliaman Kassim.

Katanya, pembukaan sekolah Tahfiz Mandarin seumpama itu tidak memerlukan kos besar kerana ia menggunakan bangunan sedia ada manakala pengajian yang digunapakai adalah berdasarkan modul sekolah IMTIAZ Yayasan Terengganu.

"Peruntukan sebanyak RM500,000 telah disalurkan oleh kerajaan negeri untuk tujuan kemudahan asrama dan lain- lain," ujarnya.

Seterusnya >>

PROGRAM ROBOTIK NILAI TAMBAH PELAJAR IMTIAZ YAYASAN TERENGGANU

PROGRAM ROBOTIK NILAI TAMBAH PELAJAR IMTIAZ YAYASAN TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos- Robotik merupakan program kebitaraan IMTIAZ Yayasan Terengganu dan salah satu ko-kurikulum nilai tambah yang perlu dipelajari dan diikuti semua pelajar IMTIAZ Yayasan Terengganu.

Pengarahnya, Ishamudin Hashim berkata, dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti yang bersifat holistik Yayasan Terengganu telah mengaturkan program robotik yang dijadikan sebagai salah satu instrument latihan atau alat berfikir bagi membantu pelajar memaksimakan keupayaan otak dan minda, berfikiran kreatif dan inovatif serta berkemampuan mengaplikasikan teknologi tinggi bagi tujuan membina tamadun manusia yang berpaksikan Al-Quran sebagai panduan dan petunjuk.

"Robotik merupakan salah satu elemen kurikulum terpenting dalam STEM, kini dikenali sebagai STREAM (Science, Technology, Religion, Engineering, Arts, and Math) yang perlu pelajari dan dikuasai oleh setiap pelajar.

"Bagi meningkatkan dan penguasaan kemahiran robotik di kalangan pelajar IMTIAZ, bengkel dan kursus sering dijalankan," ujarnya kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di Pejabat Yayasan Terengganu, semalam.

Dalam pada itu katanya, Yayasan Terengganu turut bersetuju dengan Kementerian Pendidikan yang menyeru pihak swasta untuk bersama dengan pusat tahfiz membawa kepelbagaian kemahiran termasuk pembangunan robotik.

"Bagi melahirkan generasi ulul albab bercirikan quranik, ensiklopedik dan ijtihadik di kalangan pelajar IMTIAZ, Yayasan Terengganu sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang dapat membantu memperkasakan lagi program robotik dengan lebih jauh tanpa dibebankan dengan kos yang tinggi serta menggunakan pendekatan IMTIAZ.

"Walaupun program robotik bukan salah satu mata pelajaran wajib di IMTIAZ, tetapi ia merupakan program nilai tambah kepada ko-kurikulum sedia ada," ujarnya.

Katanya, menjadi harapan Yayasan Terengganu agar pelajar IMTIAZ dapat meningkatkan lagi kemahiran dan penguasaan robotik yang lebih canggih seperti VEX Robotic dan artificial intelligence robotic dalam menghadapi revolusi industri 4.0 (IR 4.0) dan revolusi industri 5.0 (IR 5.0).

Seterusnya >>

SM IMTIAZ Yayasan Terengganu Kemaman Juara All About Youth (AAY) Terengganu 2019

SM IMTIAZ Yayasan Terengganu Kemaman Juara All About Youth (AAY) Terengganu 2019

 

KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman muncul juara program Sentuhan Harapan Yayasan PETRONAS - All About Youth (AAY 2019), mengalahkan sembilan sekolah lain dari negeri itu.

Projek sekolah tersebut yang dikenali sebagai CO2NCER, sistem pengesan awal kebakaran hutan untuk membantu pasukan Bomba dan Penyelamat, berjaya menambat hati panel hakim dan menewaskan sembilan buah sekolah lain.

Program yang berasaskan pertandingan bermanfaat kepada komuniti dan persekitaran itu bertemakan 'Mengurangkan Pelepasan Karbon untuk Masa Depan yang Lebih Baik' (Reducing Carbon Emissions for a Better Future).

Seramai 200 pelajar Tingkatan 2 dan 4 daripada dari 10 buah sekolah di negeri ini, diberi tempoh tiga bulan bagi membina dan melaksanakan projek kemasyarakatan yang bermatlamat mengurangkan pelepasan karbon kepada alam sekitar.


Menurut Ketua Pasukan, Ahmad Faris Wajdan, 16, CO2NCER boleh membekalkan maklumat suhu, kadar peratusan asap, kelajuan angin dan koordinat lokasi secara automatik kepada Pasukan Bomba dan
Penyelamat melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

“Kami rasa teruja apabila dinobat sebagai pemenang peringkat negeri. Kemenangan kami adalah hasil daripada sokongan sukarelawan PETRONAS atau buddies, guru-guru serta sekolah.

"Kami telah bekerja keras dalam membina projek ini dan akan terus berusaha sehingga ke peringkat akhir,” tambah beliau.


“Program ini bukan sahaja menyediakan persekitaran yang selamat kepada pelajar untuk meneroka dan bereksperimen, malah ia menggalakkan mereka untuk berfikir tentang suasana di alam sekeliling.

"Projek yang dibina ini adalah hasil keperihatinan mereka kepada kejadian kebakaran hutan yang berlaku di sekeliling mereka,” kata Idrus Ishak, guru pembimbing pasukan pelajar itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Lita Osman berkata, objektif PETRONAS adalah untuk
menjadikan perubahan iklim atau climate change sebagai subjek perbualan di kalangan pelajar bagi mengasah kemahiran mereka untuk berfikir secara kreatif dan inovatif untuk masa depan yang
mampan.

“Kami teruja melihat para pelajar dapat mengaplikasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik
(STEM) dalam menawarkan penyelesaian untuk masa depan yang lebih cerah.

"Dengan sokongan guru-guru dan sukarelawan PETRONAS, pelajar-pelajar ini telah berjaya menjadi inovatif dalam menawarkan penyelesaian praktikal untuk kesejahteraan masyarakat,” kata Lita.

Setiap pasukan dinilai dari segi kreativiti, pelaksanaan dan kelestarian projek, impak kepada komuniti dan persembahan projek.

Lita menambah, Yayasan PETRONAS percaya AAY 2019 akan memberi pelajar kemahiran untuk berfikir secara lateral dan kreatif serta bekerjasama membangunkan keupayaan mereka sebagai pemimpin masa depan.

“AAY juga menyasarkan untuk menggerakkan inovasi sosial dan menyokong sasaran kerajaan untuk
mencapai nisbah 60:40 pengambilan jurusan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik)-
Sastera selain matlamat negara mengurangkan pelepasan karbon,” menurut beliau lagi.

Untuk rekod, sejak 2014, AAY telah menjangkau lebih 200 sekolah dan 4,600 pelajar. Lebih daripada 150
sukarelawan PETRONAS atau buddies telah memupuk dan membimbing para peserta, menghasilkan 200 projek kemasyarakatan yang berimpak besar.

Antaranya adalah sistem amaran pengesan banjir, tandas mesra alam dan aplikasi telefon pintar nota sejarah. AAY disokong oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim.

Seterusnya >>

KEMERIAHAN AIDILFITRI DIBAWAH SATU BUMBUNG

KEMERIAHAN AIDILFITRI DIBAWAH SATU BUMBUNG

KUALA TERENGGANU, 17 Jun - Penganjuran Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri yang diadakan di bawah satu bumbung di Dataran Shah bandar, di sini meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selain menjimatkan masa dan tenaga, secara tidak langsung ianya dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim khususnya di kalangan kakitangan agensi dan anak syarikat kerajaan negeri.

“Sebelum ini setiap agensi kerajaan negeri mengadakan sambutan hari raya masing-masing tetapi untuk tahun-tahun akan datang ianya akan diadakan secara serentak sebegini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri di Dataran Shah Bandar, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A.Rahman Yahya serta barisan Exco Kerajaan Negeri.
 Katanya, sebanyak 23 agensi dipertanggungjawabkan untuk menyediakan hidangan kepada para pengunjung.

Pada majlis yang bermula 10 pagi itu, tetamu yang hadir disajikan dengan pelbagai makanan termasuk kambing guling, ayam bakar, sate, nasi dagang, laksa, laksam, nasi gulai kawah, nasik minyak, apam balik, ketupat, lemang dan pelbagai masakan lain.

Seterusnya >>

KERAJAAN NEGERI TERENGGANU SEDIA 12 BAS UNTUK MAHASISWA BALIK KAMPUNG

KERAJAAN NEGERI TERENGGANU SEDIA 12 BAS UNTUK MAHASISWA BALIK KAMPUNG

KUALA TERENGGANU, 26 Mei -  Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu menyediakan sebanyak 12 buah bas secara percuma untuk membawa 480 mahasiswa Terengganu yang belajar di luar negeri itu pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri menerusi program Jom Balik Raya Aidilfitri Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) 2019.

Pegawai Perhubungan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) Muhamad Khairi Mezah berkata, program bertemakan 'Tranung, mu tunggu aku balik' itu diharap dapat menceriakan sambutan Aidilfitri mahasiswa bersama keluarga tersayang selain mengurangkan beban kewangan mereka.

Beliau berkata, kesemua 12 bas berkenaan dijadual bertolak daripada lokasi yang telah ditentukan pada 31 Mei ini dan dijangka tiba di perkarangan Yayasan Terengganu, di sini pada awal pagi, 1 Jun.

"Mahasiswa berkenaan juga akan menikmati hidangan sahur yang disediakan sebelum bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing," katanya kepada Bernama, hari ini.

Katanya, bagi pelajar yang tinggal di enam daerah iaitu Besut, Setiu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, Yayasan Terengganu juga akan menghantar mereka pulang dengan bas percuma ke daerah masing-masing.

Muhamad Khairi berkata kesemua mahasiswa Terengganu telah dimaklumkan mengenai program tersebut melalui laman rasmi Facebook Permata di universiti masing-masing.

Katanya program yang telah bermula sejak tujuh tahun lalu itu susulan rungutan mahasiswa yang tidak dapat pulang beraya di kampung kerana kehabisan tiket bas.

-- BERNAMA

 

Seterusnya >>

Print Email

Senarai Berita